
Doa memohon akhlak terbaik dan rezeki yang berkat
“Ya Allah, semoga Engkau berkenan melimpahkan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan selawat yang dapat melapangkan rezeki bagi kami dan menjadikan baiknya akhlak kami dan curahkanlah kesejahteraan atas keluarga dan sahabat-sahabatnya serta berikanlah keselamatan.”
Doa memohon kesihatan tubuh badan (baca pada waktu pagi dan petang)
“YA Allah, kurniakanlah kesihatan pada badan hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada telinga hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada mata hamba, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kepapaan, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kesengsaraan azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau.”
Doa apabila terganggu dan terkejut ketika tidur atau rasa kesepian
“Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, azab-Nya, daripada kejahatan hamba-Nya, daripada hasutan syaitan dan daripada syaitan mendekatiku.”
Doa ketika sukar menyelesaikan sesuatu urusan
“Wahai Tuhanku, tidak ada yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkau menghapuskan duka cita dengan mudah jika Engkau kehendaki.”
Doa ketika sesuatu penyakit merebak
“Aku berlindung membenteng diri kepada nama Tuhan yang mempunyai kemuliaan dan kekuatan, aku berpegang teguh pada Tuhan yang menguasai alam nyata dan alam ghaib, aku bertawakal kepada Tuhan yang hidup dan yang tidak mati selama-lamanya.
“Semoga kiranya Engkau hindarkan kami Ya Allah daripada bala dan wabak. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Doa mohon perlindungan daripada kerunsingan
“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kerunsingan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan penakut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada belenggu hutang dan tekanan orang.”
Doa untuk memudahkan sebarang urusan
“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”
Doa apabila melihat orang mendapat bencana
“Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku daripada penyakit atau bala yang mana kamu telah diuji dengannya; dan telah memberi limpah kurnia yang nyata kepadaku melebihi kebanyakan orang.”
Doa mohon perlindungan daripada penyakit berat
“WAHAI Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit berat.” (Riwayat Abu Daud).
Doa anak untuk ibu bapa
“YA Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.”
0 komentar:
Posting Komentar